Followers

Thursday, August 18, 2011

LARAS SAINS:ANCAMAN PENYAKIT KARDIOVASKULAR

Penyalahgunaan alkohol beri kesan lebih serius terhadap jantung wanita muda berbanding lelaki 

ANDA wanita muda yang menjalani gaya hidup moden, merokok dan mengambil minuman beralkohol? Jika satu atau lebih daripada ciri berikut menepati kriteria diri anda, berwaspada kerana anda mungkin berisiko mendapat penyakit kardiovaskular pada usia muda. Fakta diperoleh daripada Penerbitan Harvard Health pada Februari 2010 pula menyatakan bahawa penyalahgunaan alkohol mempunyai kesan lebih serius terhadap jantung wanita berbanding lelaki. Ini kerana badan wanita menyimpan alkohol lebih lama disebabkan paras enzim pengurai alkohol di dalam hati yang lebih rendah menyebabkan kepekatan alkohol lebih tinggi untuk tempoh lebih lama dalam darah wanita.

Selain gaya hidup urban, jangka hayat wanita di negara ini yang semakin meningkat iaitu mencecah 76.4 tahun juga menyumbang kepada peningkatan kes penyakit berkaitan kardiovaskular dan dijangka menjadi antara punca kematian umum di kalangan wanita tempatan.

Ketua Jabatan Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Rosli Mohd Ali, berkata faktor risiko seperti kencing manis, kegemukan, gaya hidup tidak aktif dan tabiat merokok memberi kesan berbeza terhadap kesihatan jantung wanita.

“Lazimnya, wanita lanjut usia yang menghidap hipertensi dan gadis muda yang merokok biasanya menghadapi risiko penyakit jantung koronari (PJK).
“Bagaimanapun, wanita yang merokok atau mengambil minuman beralkohol menghadapi risiko lebih tinggi menghidap PJK berbanding lelaki daripada kumpulan sama, khususnya perokok wanita yang mengambil pil pencegah kehamilan kombinasi,” katanya.

Penggunaan pil cegah hamil dos rendah, terapi hormon kombinasi bagi wanita putus haid dan kerumitan kehamilan atau migrain adalah faktor risiko lain yang mempengaruhi serangan selain sejarah strok awal dalam keluarga atau pernah menghidap strok.

Sejarah diabetes atau penyakit jantung pada usia yang agak muda dalam keluarga (ayah atau adik-beradik lelaki sebelum umur 55 tahun dan ibu atau adik-beradik perempuan sebelum umur 65 tahun) juga akan meningkatkan risiko menghidap sakit jantung dengan ketara.

Dr Rosli berkata, kegemukan pada bahagian abdomen menandakan banyaknya kandungan lemak, malangnya lemak abdomen membebaskan bahan yang mengganggu kegiatan insulin dan menggalakkan penghasilan kolesterol darah.

“Bagi seseorang yang mempunyai tahap kolesterol kurang sihat, perubahan gaya hidup terutama diet sihat dan amalan kecergasan yang baik sebenarnya boleh mengubah tahap kolesterol.

“Bagaimanapun, kepentingan pengurusan kolesterol menjadi lebih ketara apabila digabungkan dengan faktor risiko lain seperti diabetes, merokok dan hipertensi,” katanya.

Justeru, dalam keadaan tahap kolesterol terlampau tinggi atau bagi individu yang mempunyai kombinasi faktor risiko seperti disebut, terapi statin dianggap piawaian utama dalam pengurusan kolesterol menjadi pilihan rawatan paling utama bagi merawat masalah membabitkan koronari.

Pelbagai kajian klinikal yang dijalankan selama ini telah membuktikan bahawa terapi statin adalah terapi paling berkesan untuk menguruskan dislipidemia.

Kajian ke atas satu statin iaitu rosuvastatin menunjukkan keberkesanannya membantu pesakit mencapai matlamat mengurangkan kolesterol.

✿ Realiti Kehidupan ✿

No comments:

Post a Comment